Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
MAAHAD INTEGRASI TAHFIZ TUNAS ILMUWAN SELANGOR atau ringkasnya MITTIS, Sabak Bernam, Selangor telah dirasmikan penubuhannya oleh Yang Berhormat Puan Dr. Hajah Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor pada 5 Januari 2013 bersamaan 23 Safar 1434. Kini beroperasi di Asrama Yayasan Selangor beralamat Lot 10318 Jalan Sungai Burung, Panchang Bedena, 45300 Sungai Besar Selangor.
MITTIS yang dahulunya dikenali sebagai KITTIS merupakan sebuah sekolah tahfiz persendirian (swasta) peringkat menengah di bawah seliaan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) yang berteraskan sistem Pendidikan Islam merangkumi tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah. MITTIS mengintegrasikan segala ilmu yang dipelajari dengan Islam berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias tanpa ada pemisahan antara duniawi dan ukhrawi.
Bermula tahun 2017, setelah mendapat kelulusan pendaftaran rasmi sekolah tahfiz swasta di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM ) nama KITTIS ditukar dengan nama yang baru iaitu Maahad Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor ( MITTIS ) . Pendaftaran ini sekaligus memudahkan pihak sekolah untuk melaksanakan kurikulum yang lebih integratif iaitu Kurikulum Bersepadu Tahfiz ( KBT ) untuk pelajar huffaz MITTIS khususnya.
MITTIS beroperasi sepenuh masa dengan menempatkan pelajar-pelajarnya di asrama penuh yang dilengkapi dengan prasarana yang lengkap. Sambutan masyarakat terhadap penubuhan maahad tahfiz sains di Selangor umumnya dan di MITTIS khususnya amat menggalakkan. Perkara ini terbukti dengan jumlah pelajar yang sedang mengikuti pengajian di MITTIS adalah seramai 179 orang yang terdiri daripada 114 pelajar lelaki dan 65 pelajar perempuan. Dan pelajar-pelajar yang menuntut di MITTIS bukan sahaja datang dari sekitar Selangor bahkan datang dari beberapa negeri seluruh Malaysia.
OBJEKTIF MITTIS
1.Melahirkan pelajar yang boleh membaca Al-Quran dengan cara yang terbaik dan seterusnya dapat menghafal keseluruhan Al-Quran.
2. Menanamkan kepentingan mempelajari, memahami, beramal dan menyampaikan segala perintah-perintah Allah SWT berdasarkan kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW keseluruh permukaan alam.
3. Melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dengan berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan sunnah kehidupan Rasulullah SAW dan mereka juga akan dibimbing supaya menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
4. Melahirkan generasi muda yang dapat menghayati agama dalam kehidupan mereka serta menimbulkan kesedaran dalam agama Islam. Ini juga akan menimbulkan keyakinan kepada diri pelajar bahawasanya hanya dengan amalan yang dapat membawa kejayaan di dunia dan akhirat.
5. Melatih pelajar supaya berbakti kepada agama, ibu bapa, dan masyarakat apabila tamat pengajian kelak.
PIAGAM PELANGGAN MITTIS
Kami, seluruh GURU dan staf SOKONGAN MITTIS, dengan penuh kesedaran, bertekad dan berazam akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk ;
1. Memastikan semua anak didik mendapat pendidikan yang selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Islam, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan YAPIS.
2. Memastikan semua pelajar dapat mengembangkan potensinya untuk maju dan berketrampilan untuk menjadi insan yang kamil, harmonis dan seimbang dalam semua aspek.
3. Memastikan pelajar dapat menghafaz dan murajaah Al-Quran dengan guru mengikut Standard Kualiti Hafazan yang digariskan oleh MITTIS.
4. Memastikan pencapaian akademik dalam peperiksaan utama bagi setiap mata pelajaran meningkat daripada tahun sebelumnya.
5. Sentiasa peka dan prihatin terhadap sahsiah pelajar bersesuaian dengan akhlak hamlatul Quran.
6. Sentiasa mengamalkan budaya kerja Islam sesuai dengan konsep BERADAB dan BERETIKA.
7. Sentiasa mengambil berat terhadap aspek keselamatan, kebersihan dan keceriaan.
8. Sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan ibubapa, masyarakat setempat, komuniti dan agensi berkaitan.
9. Memastikan MITTIS peka dan responsif kepada kehendak pelanggan dengan ;
9.1 Menentukan segala urusan surat-menyurat diberi jawapan dalam tempoh selewatnya 2 minggu dari tarikh diterima.
9.2 Mewujudkan sistem dokumentasi yang dikemaskini dan pengurusan kewangan yang teratur.
9.3 Mempunyai sistem maklumat maklumat yang dikemaskini setiap dua minggu dan boleh diakses maklumat dalam masa 10-15 minit.
10. Sentiasa bersedia dan sanggup menerima pandangan, cadangan, syor serta teguran yang membina daripada semua pihak demi mempertingkatkan prestasi perkhidmatan, pembangunan insan dan kecemerlangan hafazan serta akademik.